Sunday, October 28, 2012

Leukemia di Kalangan Kanak-Kanak

Leukemia di kalangan kanak-kanak

“ANAK saya kebelakangan ni asyik letih dan kelihatan pucat saja,” keluh Puan Aminah. “Dia juga sering demam dan saya perasan lebam-lebam pada bahagian badannya. Perutnya juga kembung.” Selepas diperiksa, anak Puan Aminah disahkan menghidapi leukemia. Dia menjalani rawatan kemoterapi dan kini sihat. Bagaimanapun, dia masih perlu menjalani rawatan susulan untuk memastikan penyakit leukemia tidak berulang.

Apakah leukemia?

Leukemia ialah sejenis barah yang membabitkan sel darah putih. Sel darah merah, putih dan pembeku terbentuk dalam sum-sum tulang, terutama di bahagian tulang pinggul. Bayi juga mengeluarkan sel darah di bahagian tulang dada. Sel yang dikeluarkan tidak matang dan melalui proses pematangan di dalam sum-sum tulang sebelum dikeluarkan ke salur darah. Dalam kes leukemia, sel darah putih tidak normal dan tidak melalui proses kematangan seperti biasa. Bilangan sel darah putih juga sangat banyak dan ini mengganggu bilangan sel darah merah dan sel pembeku. Akibatnya, sel darah merah berkurangan, menyebabkan pucat dan sel pembeku juga berkurangan, menyebabkan mudah lebam. Sel leukemia juga boleh menyebabkan hati dan limpa bengkak.

Bagaimana leukemia dikesan?
      Doktor akan mengesyaki leukemia berdasarkan sejarah pesakit. Gejala leukemia termasuk demam berpanjangan bersama letih, pucat dan mudah lebam-lebam. Sesetengah kanak-kanak mengalami gusi bengkak dan berdarah. Perut mereka juga bengkak disebabkan hati dan limpa yang bengkak. Ujian darah akan menunjukkan bilangan sel darah putih tidak matang yang tinggi. Sum-sum tulang juga diambil untuk diuji. Sampel sum-sum tulang akan menunjukkan sel ‘blast’ (kecederaan serius tisu lembut) yang tinggi. Ujian sum-sum tulang perlu dibuat untuk membuat diagnosis leukemia. Selain itu, sampel air tulang belakang diambil untuk diperiksa sama ada wujud sel leukemia di dalam otak. Ini juga perlu dibuat. Jenis-jenis leukemia Leukemia boleh dibahagikan kepada akut dan kronik.
       Leukemia akut dan kronik pula dibahagikan kepada lymphoblastic dan myeloid. Kanak-kanak biasanya diserang leukemia akut lymphoblastic (Acute Lym- phoblastic Leukaemia atau ALL). Ada juga yang mengalami leukemia akut myeloid (acute myeloid leukaemia). Rawatan leukemia berbeza bergantung kepada jenis leukemia dialami. Rawatan leukemia Jenis rawatan leukemia ialah kemoterapi, di mana ubat-ubatan tertentu diberi melalui suntikan, infusi dan juga bentuk pil, dan radioterapi di mana sinaran diberi pada bahagian kepala untuk membunuh sel leukemia di dalam otak. Rawatan diberi mengikut jadual. Darah dan sampel air tulang belakang diperiksa pada masa tertentu untuk memastikan tiada sel leukemia yang menular.      

         Adalah penting untuk mengikuti jadual dan mengambil ubat seperti diberi supaya sel leukemia tidak diberi peluang untuk membiak lagi. Peluang untuk sembuh Ramai menganggap leukemia sebagai hukuman maut. Sebenarnya, ramai kanak-kanak yang menghidapi leukemia sembuh dan menjalani kehidupan normal. Bagaimanapun, mereka perlu menjalani rawatan tahunan selepas sembuh untuk dipantau. Ramai juga ibu bapa didesak oleh kawan atau saudara mara supaya tidak membenarkan anak mereka menjalani rawatan kemoterapi kerana ia toksik. Ini kepercayaan berbahaya kerana tanpa kemoterapi, tiada peluang untuk sembuh. Rawatan juga perlu dimulakan secepat mungkin. Jika ada kemusykilan, elok berbincang dengan doktor pakar yang merawat anak.

No comments:

Post a Comment