Tuesday, July 7, 2009


Pada petang ini, Selasa 7 Julai 09. Syarikat Seni Kota memasang batu nisan Dik ah. Pekerja kedai itu sampai ke tanjong pukul 6.15 petang. Pukul 6.35 petang baru siap pasang. Abah pergi ke Tanjong dengan kak ngah. Masa pasang batu nisan itu hujan rintik. Harga satu set batu nisan dan kepuk RM 2000. Batu nisannya warna putih, kepuk juga putih, latar belakang nama Dik ah warna emas. Esok abah akan masukkan gambarnya. Balik dari kubur terus pergi cucuk perut opah. ( Ubat kencing manis ).

Friday, July 3, 2009

Sakit dan kematian....Ujian kami sekeluarga

Setahun Dik Ah menanggung penderitaan, Dalam seminggu lima hari kimoterapi, ambil darah dijari dan dilengan dan kadang-kadang pada urat kaki, hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya. Jika dr baru yang ambil darah sampai tiga kali cucuk pun tak dapat ambil darah lagi. Abah tahu betapa sakitnya Dik Ah. Abah pernah beberapa memarahi Dr yang bodoh tu. JIka rawatan Di Ipoh terpaksa masuk darah satu pek, masuk platlet dua atau tiga pek. Kalau hari darah Dik Ah ok. Abah rasa sangat seronok tapi terpaksa pula pergi ke PPUM pada petangnya meninggalkan Mama, Kak ngah, Kak Yung dan DIk Nit. Abah dapat merasakan betapa kuat dan tabahnya Dik Ah menghadapi dugaan ini. Apabila Dik Ah demam abah terlalu takut, abah teramat risau, Apabila Dik ah muntah abah yang gementar. Apabila Dik Ah buat IT Triple X abah rasa sangat tertekan, Apabila abah mendengar tangisan Dik Ah, abah rasa serba salah, abah hanya dapat berserah kepada tuhan.Abah tak mampu nak buat-apa-apa. Abah sangat gembira apabila Dik Ah mula bercakap selepas IT. Dik selalu cakap muka abah macam dalam komputer, petak-petak dan Dik ,Ah selalu minta air sirap atau milo atau teh ais. Apabila dik Ah tak mahu makan, abah juga tidak lalu makan. Apabila Dik Ah merasa jemu berada di wad abah cuba sedaya upaya gembirakan dik ah. TV kecil Dik Ah masih lagi abah simpan. Abah tak benarkan sesiapapun menggunakannya. Abah masih lagi teringat bagaimana ceria dan gembiranya Dik Ah apabila Abah bawa TV itu kepada Dik Ah. Dapatlah Dik Ah menonton rancangan kegemaran Dik Ah, Wonder Pet, Doraemon, Ultraman dan CD Barbie. Lukisan pelangi Dik Ah hadiahkan telahpun abah laminate dan akan Abah framekan. Hancur luluh rasanya diri Abah pabila Dr mengatakan penyakit Dik Ah dah tidak ada ubat lagi untuk rawatan dan Dr hanya mampu berkata pada abah supaya redho dengan pemergian Dik Ah. Tak sanggup rasanya melihat penderitaan Dik Ah pada hari-hari terakhir Dik Ah. Abah sangkakan hari Jumaat Dik Ah gembira kerana wayar di dada dah dicabut. rupa-rupanya itulah senyuman terakhir Dik Ah. Dik Ah saja nak menggembirakan abah dan mama sekejap. kerana esok dik ah nak pergi..Setiap hari Abah sedekahkan Dik Ah dengan Al Fatihah dan Bacaan Yasin, Setiap minggu Abah, mama, kak ngah dan Dik Nit akan ke pusara Dik Ah, tetapi pada hari ini Abah tak dapat pergi kerana mama ada kerja dan terpaksa balik lewat. Esok pun tak boleh pergi. Pagi Ahad kami akan datang. Dik Ah.....Abah sentiasa merindui Dik Ah..

Thursday, June 25, 2009












Friday, June 19, 2009

Kejayaan pertama Dik Net di sekolah


Dik Net baru berumur lima tahun. Sekarang belajar di Pasti Al Munawwarah, Changkat Sodang. Dia masuk kelas 5 tahun. Tahun lepas belajar selama 3 bulan aje di kelas 4 tahun. Lepas itu tak nak ke sekolah. Pada peperiksaan pertengahan tahun ini dia telah berjaya mendapat semua A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab,Matematik, Peribadi Muslim, Pendidikan sains Sosial dan Pembangunan Insan, Al Quran , Pelajaran Jawi dan Asas Komputer. Dik Net telah dapat nombor satu dalam kelas dia. Dik Net telah menuntut hadiah anak patung Barney. Dia dah lama berkenankan anak patung itu. Sekarang ini main dengan anak patung barney aje kojenya. Anak patungnya boleh nyanyi. Tapi sekarang dia tak berapa bekenan makan nasi. Dia juga baru nak tumbuh gigi geraham belakang sekali.

Monday, June 8, 2009

Terimakasih Nurse, Doktor, pembantu hospital dan kerani Wad tingkat 11,ppum.





Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu kami. Khasnya nurse dan doktor serta kerani dan pembantu hospital yang bertugas di Wad Pead 6, Daycare dan Wad BMT tingkat 11 PPUM, Kuala Lumpur bermula 20 Februari 2008 hingga 15 Januari 2009 kerana tanpa jemu menghulurkan bantuan dan khidmat untuk menyelamatkan allahyarham anakku Nurul Nabihah bt Baharuddin( 230175620) yang mengalami sakit Luekimia ALL mature B. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik mereka. Anakku hanya mampu bertahan setahun sahaja selepas disahkan mengalami penyakit leukimia.Dik Ah telah 10 kali membuat rawatan kimoterapi dan akhirnya Prof Chan mengumumkan tiada lagi ubat dalam perubatan moden yang boleh di gunakan untuk rawatan Dik Ah dan umur Dik Ah dijangka bertahan tidak sampai 3 minggu. Dik Ah tidak sempat untuk membuat transplan kerana sel-sel leukimianya telah tumbuh semula dan merebak dengan cepatnya setelah sebulan tamat rawatan RICE protocol dan menyerang kepala dan otaknya. Doktor hanya dapat memberikan kata-kata nasihat dan penjagaan terhadap Dik ah di akhir hayatnya. Sebagai ibubapa, kami berasa terlalu sedih, pedihnya untuk menerima hakikat itu tiada siapa yang tahu. Dalam masa 3 minggu itu segala jenis perubatan kami usahakan, tetapi Allah lebih mengetahui dan lebih menyayanginya. Kini Dik Ah telah tiada bersama kami lagi. Dia telah dijemput menemui Illahi pada 24 Januari 2009 jam 10.20 pagi dihadapan abah, mama, kak yong, kak ngah, dik nit serta ibu dan bapa saudaranya serta jiran-jiran di rumah kami di Seri Iskandar. Mungkin takdir telah menentukan umur Dik Ah hanya setakat 8 tahun 4 bulan sahaja. Sehingga hari ini, kami sekeluarga masih tidak sanggup untuk pergi ke wad Pead 6, BMT dan Daycare PPUM untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana disitulah anak kami selama setahun menerima rawatan. Pelbagai kenangan bersama Dik Ah ada disitu, bermula dari mula dia dimasukkan ke PICU tingkat 5 menara Timur PPUM sehinggalah rawatan terakhirnya di Wad BMT PPUM. TERIMA KASIH SEMUA.. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa bakti anda semua...Ketiadaan Dik Ah bersama kami amat dirasai terutamanya pada musim cuti sekolah ini. Hilai tawanya tiada kedengaran lagi. Keletahnya amat kami rindui. Hanya gambar-gambar dan rakaman videonya pengubat rindu.

Tuesday, June 2, 2009

Dik Ah dalam kenangan



Dik Ah semasa berada di Wad P6, PPUM pada minggu yang ke 3 selepas seminggu keluar dari wad PICU menara timur. Mama( Farial ) datang menggilirkan Abah yang dah 3 minggu berada bersama Dik Ah.

Abah menemani Dik Ah dari mula dik Ah masuk Wad di PICU Ipoh pada 11 Februari 2008 dan bersama ke PPUM dengan Ambulans terus ke PICU menara timur.pada 13 Februari 2008. Dik Ah seronok sangat bila Mamanya datang.

Komen